SUSU ibu ialah makanan terbaik buat anak. Kepada ibu yang kali pertama melahirkan anak, proses menyusukan bayi boleh menyebabkan tekanan, malah jadi cabaran besar buat anda.

Tetapi, jangan risau. Apa kata ikut panduan menyusukan bayi dalam artikel ini.

  1. Bersihkan puting menggunakan tuala basah. Ini bagi mengelakkan saluran puting tersumbat dan melancarkan proses pengeluaran susu.
  2. Prinsip asas dalam penyusuan susu ibu ialah semakin banyak susu dikeluarkan, makin banyak susu dihasilkan.

3. Pastikan mulut bayi melekap betul pada payudara, iaitu mengadap dada ibu. Rapatkan seluruh badan bayi ke arah dada, bukan hanya bahagian kepala. Baca tentang posisi menyusu bayi di pautan ini: 5 Posisi Menyusu Anak dengan Betul.

4. Mulut bayi perlu terbuka luas. Pastikan seluruh bahagian tampuk hitam (areola) masuk ke dalam mulutnya.

5. Dagu bayi perlu mencecah payudara dan bibirnya melekup keluar. Pipinya menggelembung dan payudara akan kelihatan bulat dan penuh.

6. Bantu bayi melekap dengan memegang payudara dengan tangan. Pastikan ibu jari jauh dari areola dan tidak menekan payudara.

7. Pelekapan yang salah ialah punca kepada pelbagai masalah seperti mastitis, puting merekah dan penurunan kuantiti penghasilan susu.

8. Walau apapun terjadi, ibu perlu yakin menyusukan bayi secara ekslusif hingga umurnya 6 bulan. Jauhi hasutan dan kata negatif orang lain. Bawa bertenang. 🙂

9. Perut bayi baru lahir cuma sebesar kacang tanah. Jadi ibu jangan stres jika kuantiti susu yang dihasilkan atau diperah sedikit saja.

10. Bayi baru lahir lazimnya akan banyak tidur berbanding terjaga. Kejutkan dia untuk menyusu apabila waktu menyusu sudah tiba.

11. Bagi mengelak bengkak susu, perah susu sebelum payudara penuh. Jika payudara bengkak, gunakan bunga kubis untuk meredakannya.

12. Gunakan bantal penyusuan yang besar ketika menyusu. Bantal berbentuk C yang diletakkan di pinggang membolehkan ibu menyusukan bayi dalam beberapa posisi.

13. Penyusuan ketika  berbaring agak sukar untuk dilakukan ketika bayi masih kecil.

14. Setiap bayi mesti  disusukan hingga habis satu payudara supaya mendapat foremilk dan hindmilk yang memberikan khasiat sepenuhnya kepada bayi.

15. Bagi sesi penyusuan seterusnya, berikan payudara berbeza kepada bayi. Ini bagi latihan stimulasi rangsangan pandangan mata bayi.

16. Jika bayi masih berada di unit penjagaan neonatal intensif (NICU), jangan lupa perahkan payudara. Ini bertujuan merangsang bagi meningkatkan bekalan kedua-dua payudara walaupun tidak dihisap bayi.

17. Bayi yang dibedung lebih mudah dipegang ketika menyusu. Dapatkan bantuan suami dan ahli keluarga atau rujuk kaunselor laktasi sekiranya mengalami kesukaran ketika mahu menyusu. Baca langkah membedung bayi di pautan ini: 5 Cara Bedung Bayi (Usia Sebulan ke Bawah Paling Sesuai Bedung Anak).

18. Jangan lupa makan makanan seimbang dan sihat. Ini menjamin susu yang berkualiti dan membantu perkembangan bayi.

19. Amalkan sayur dan ‘milk booster’ seperti halba. Elakkan makanan ringan yang membuatkan ibu kenyang dan tiada selera makan. Gantikan kudapan dengan buah dan biskut ‘milk booster’.

20. Hormon oksitosin yang dikeluarkan untuk menghasilkan susu ketika bayi disusukan akan menyebabkan ibu cepat haus. Minum air mencukupi dan makan makanan sihat.

SUMBER: BreastFeedo

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda