SETIAP pasangan pasti teruja menyambut kelahiran cahaya mata baharu. Kepada ibu yang kali pertama melahirkan anak, apa yang diharungi bukan mudah dan menjadi cabaran besar dalam hidup kerana segalanya serba baharu.

Kami kongsikan di sini 20 panduan asas penjagaan bayi khas buat ibu-ibu pembaca semua. 🙂

1. JANGAN CIUM BAYI

Jangan biarkan bayi dicium sembarangan orang kerana boleh menjejaskan kesihatannya dan mengundang pelbagai penyakit. Ini kerana sistem pertahanan tubuh bayi masih belum dapat melindungi badannya daripada ancaman bakteria dan kuman.

2. WUJUDKAN PERSEKITARAN NORMAL DI RUMAH

Jangan jadikan rumah sunyi sepi apabila ada bayi baru. Biarkan persekitaran rumah normal supaya bayi terbiasa dengan suasana itu. Bagaimanapun, elakkan bunyi terlalu kuat dan bising hingga mengganggu tidur si manja.

3. SEGERA TUKAR LAMPIN

Jangan biarkan bayi pakai lampin yang kotor dalam tempoh terlalu lama. Bayi baru lahir kerap membuang air kecil berbanding bayi berusia 6 bulan ke atas.

4. BERSIHKAN TALI PUSAT

Cuci tali pusat dan kawasan sekelilingnya supaya berada dalam keadaan bersih dan kering. Pihak hospital akan bekalkan cecair antiseptik untuk mencuci pusat bayi. Lakukan langkah mencuci dengan berhati-hati supaya tidak berlaku jangitan kuman.

5. POTONG KUKU

Bayi suka memasukkan jari ke dalam mulut dan ini membuatkan kuku bayi jadi lembap. Seelok-eloknya potong kuku bayi secara kerap supaya bahagian mulut bayi tidak luka.

6. BERSIHKAN MATA

Digalakkan membersihkan mata bayi ketika mandi. Gunakan kapas bulat yang dicelup air suam. Gunakan kapas baharu setiap kali mencuci mata bayi untuk elak kuman merebak ke bahagian lain.

7. PAKAIAN LONGGAR

Jangan beri bayi pakai pakaian ketat kerana boleh buat dia merengek dan rasa tidak selesa. Sebaiknya, pakaikan pakaian longgar yang diperbuat daripada material kapas.

8. JANGAN BERI MAKAN SEBELUM USIA 6 BULAN

Kebanyakkan doktor menyarankan beri makanan kepada bayi hanya apabila bayi berusia 6 bulan dan ke atas. Makanan dibenarkan ialah jenis puri dan bubur supaya bayi tidak menghadapi masalah penghadaman.

9. CUCI SISIK KULIT KEPALA

‘Infantile seborreheic dermatitis’, juga dikenali sebagai ‘cradle cap’ menyebabkan tompokan sisik pada kulit kepala bayi. Cuci kepala anak menggunakan syampu bayi khas untuk mengurangkan dan menghilangkan sisik tersebut.

10. ELAK RUAM

Bagi mencegah ruam, elakkan lampin basah dalam tempoh lama. Pastikan bahagian punggung dan anggota kelamin dalam keadaan bersih dan kering sepanjang masa untuk mengelakkan ruam.

11. URUT

Bayi yang diurut secara kerap biasanya kurang menangis berbanding bayi tidak diurut. Urutan dapat membantu bayi tidur lena dan meningkatkan fungsi sistem pencernaan.

12. MANDI AIR SUAM

Kulit bayi masih lembut dan sensitif. Jadi, pastikan bayi dimandikan dengan air suam. Selepas mandi, sapukan minyak bayi, guna barut, stokin dan baju.

13. RUANG TIDUR TENANG

Sewaktu tidur malam, wujudkan suasana bilik tidur yang gelap dan sunyi, jauh daripada gangguan bunyi. Cara ini dapat membantu bayi tidur tenang.

14. POSISI DUKUNG BAYI

Tulang bayi masih sangat lemah. Secara umumnya, posisi terbaik mendukung bayi ialah membaringkan atas lengan anda. Lipat siku untuk menyokong leher dan kepala, manakala satu tangan lagi menyokong punggung, belakang dan kaki. Posisikan bayi dekat dengan dada supaya dia rasa selesa.

15. CARA JAGA BAYI PRAMATANG

Sesuaikan suhu bilik di rumah. Jangan terlalu panas atau sejuk. Bayi pramatang sangat sensitif. Jika menggunakan botol, pastikan alat menyusu disteril sebelum digunakan. Biasakan mencuci tangan sebersih-bersihnya sebelum menyentuh bayi.

16. SENDAWA

Sekiranya udara yang terperangkap dalam perut bayi tidak dikeluarkan, bayi akan berasa tidak selesa. Keadaan ini akan menyebabkan perut bayi kembung.

Cara sendawakan bayi, biarkan dia meniarap atas pangkuan, dukung di bahu atau biarkan duduk menghadap depan.

17. TANGAN MESTI BERSIH

Sistem ketahanan bayi masih belum kuat. Pastikan setiap orang yang menjaga atau menyentuh bayi berada dalam keadaan bersih.

18. MINYAK BAYI

Penggunaan minyak amat penting untuk mengelakkan perut kembung. Sapukan minyak bayi pada perut, belakang badan, betis dan tapak kaki. Ketahui kepentingan minyak telon untuk bayi: Kenapakah Minyak Telon Penting untuk Bayi?

19. PERMAINAN

Sebaik-baiknya pilih permainan berwarna cerah. Mainan bergerak dan berbunyi yang digantung di atas tempat tidur dapat merangsang deria pendengaran dan penglihatan bayi.

20. G6PD

Penyakit G6PD ialah kekurangan enzim G6PD dalam sel darah merah. Pastikan anda tahu senarai ubat yang tidak dibenarkan jika anak ada G6PD dan jangan biarkan dia terdedah kepada ubat gegat. Dapatkan info mengenai penjagaan anak G6PD di pautan ini: Apakah Perlu Buat Jika Anak Disahkan G6PD?

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda