AYAH sering diibaratkan cinta pertama setiap anak perempuan. Ayahlah yang mewarnai dan mencorak kehidupan anak kita untuk jadi insan solehah masa depan. Maka, ayah perlu memainkan peranan penting dalam perkembangan anak perempuan sejak lahir lagi.

Berikut perkara yang perlu dilakukan ayah bagi mengeratkan hubungan dengan anak perempuan pada bakal anak perempuan yang bakal lahir nanti.

1. BERMULA DARI RAHIM

Sebaik-baiknya perlu bermula dari awal, ketika anak masih dalam rahim ibu walaupun masih belum tahu jantina. Bacalah Al-Quran, berkomunikasi dengan bayi dan ucaplah kata-kata baik kepada anak dan juga isteri.

2. AZAN DAN IQAMAT

Sebaik saja anak perempuan dilahirkan, ayah mestilah mengazankan dan membaca iqomat di telinga. Ayah juga mesti belajar bagaimana membasuh uri anak.

3. MANDIKAN ANAK

Walaupun badan anak masih lembut, belajarlah memandikan anak dan kena beranikan diri. Jangan lupa cucikan najis anak. Jangan sekadar sental dengan tisu basah, basuh juga dengan air paip. Takkan hendak mengharapkan ibu mentua atau isteri yang tengah berpantang?

4. CUKUR RAMBUT

Apabila anak berusia 7 hari, cukurlah rambutnya. Boleh guna mesin gunting rambut untuk memendekkan rambut anak dan pisau cukur untuk mencukur. Senangkan? Jangan beri alasan takut kerana kepalanya masih lembut, geli, dan macam-macam alasan lain. Itukan anak kita.

5. BELAJAR BUAT SUSU ANAK

Apabila anak selesai menyusu badan, dan bersambung minum susu formula, ayah boleh tolong belajar bancuhkan susu anak.

6. BANTU SUSUKAN ANAK

Apabila anak merengek mahu minum susu, janganlah kejutkan isteri untuk buatkan susu. Tidak salah pun ayah bangun sekejap, buatkan susu dan hulurkan kepada anak.

7. SELALU PELUK

Apabila anak sudah membesar, peluklah anak perempuan. Ciumlah dahi, pipi, tangan dan ubun-ubun anak. Mereka akan rasa disayangi ayah.

8. GOSOK GIGI ANAK

Sebelum anak pandai menggosok gigi dan mandi sendiri, ayah mesti uruskan semua itu. Gosokkan gigi, dan jiruskan anak sambil sabun serta lapkan badannya.

9. SIKAT RAMBUT

Sikatkan rambut anak perempuan selepas mandi. Belajar bagaimana mengikat rambut. Memang susah sebab dia akan bergerak ke sana sini. Kenalah pandai kunci pergerakan.

10. SELALU PUJI

Orang perempuan suka dipuji. Pujilah selalu anak perempuan kita. Jangan kedekut beritahu yang dia seorang yang comel, cantik dan baik. Boleh juga berikan pickup line ke atau lakukan apa saja yang boleh buat dia gembira. Asalkan memuji.

11. KERAP UCAP SAYANG

Apabila memeluk anak, cakaplah; ayah sayang (sebut namanya). Buat setiap hari dan ajar anak cakap benda sama kepada kita. (Namanya) sayang ayah.

12. PANDAI LAYAN ANAK BERMAIN

Ayah dan anak perempuan perlu ada chemistry. Si ayah kena pandai masuk ketika dia bermain. Sebagai contoh, apabila anak naik atas badan, jadilah kuda. Apabila anak sedang main masak-masak, cubalah berlakon rasa masakannya. Gunakan imaginasi untuk mewarnai imaginasi anak.

13. TONTON KARTUN BERSAMA

Tonton kartun kegemaran anak bersama seperti Upin Ipin, Boboiboy, Ejen Ali, Ultraman dan Doraemon.

14. BUAT TRADEMARK BERSAMA

Ayah dan anak perempuan mesti ada trademark. Sebagai contoh, high five ke, fist bumb ke (macam Baymax dalam Big Hero 6), fist bumb macam dalam Ejen Ali ke (neuro style) atau colek ibu jari.

15. JADI PENDENGAR SETIA

Apabila anak sudah pandai bercakap, jadilah pendengar yang baik. Mendengar dengan penuh minat apa yang anak mahu kongsikan sama ada dia bercerita, mengadu dan sebagainya. Tunjukkan yang kita prihatin dan mendengar apa yang dia katakan. Jangan pula apabila anak cakap, mata kita khusyuk menatap skrin telefon.

16. SENTIASA ADA KOMUNIKASI

Ayah kena sentiasa berkomunikasi dengan anak. Tanamkan persoalan akidah pada anak, bercerita, kongsikan kisah-kisah Nabi dan ajarkan doa-doa dan Al-Quran.

17. AJAR ANAK TENTANG HAL PERIBADI PEREMPUAN

Si ayah wajib berkongsi pada anak-anak tentang anggota kelamin, sentuhan selamat dan tidak selamat, menjaga aurat, soal akil baligh anak perempuan dan isu-isu melibatkan kesihatan reproduktif.

18. AYAH IALAH TERBAIK

Apabila anak perempuan meningkat usia remaja. Ketika itu mereka akan rasa ayah sebagai lelaki paling baik, kacak, prihatin, pendengar yang baik dan boleh berkongsi cerita. Maka, mereka tidak akan sewenang-wenang memberikan cinta kepada lelaki sembarangan.

SUMBER: Akhi Fairuz

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda