SITUASI anak terbangun malam memang boleh buat kita stres, terutama ibu bapa yang baru menimang cahaya mata pertama.

Dalam kepala, selalu timbul pelbagai persoalan, risau pasal anak dapat cukup tidurkah? Berdasarkan kajian dilakukan pasukan saintis Universiti Bristol, statistik mendedahkan hanya 16 peratus bayi berusia 6 bulan yang dapat tidur lena sepanjang malam.

Lebih separuh bayi lagi kerap terjaga malam, manakala 9 peratus lain langsung tidak tidur dan 17 peratus selebihnya kerap terjaga lebih daripada sekali setiap malam. Maknanya, anda memang tidak berseorangan.

Apa kata kami kongsikan 13 tip yang boleh bantu anak-anak tidur lebih lena.

1. PEKA TANDA-TANDA MAHU TIDUR

Ibu bapa perlu faham dan sentiasa peka bilakah bayi mula menunjukkan tanda-tanda mahu tidur. Inilah langkah paling penting dan awal dalam memastikan anak kita tidur lena sepanjang malam.

2. MANDI AIR SUAM SEBELUM TIDUR

Mandian suam dapat merehatkan dan membantu bayi tidur lebih lena dan selesa. Bedungkan bayi dengan selesa, jangan terlalu ketat hingga jadi tidak selesa selepas mandi.

3. AMALKAN URUTAN LEMBUT

Bayi juga perlukan urutan badan sebelum tidur. Kajian pakar dari Universiti Miami melaporkan, bayi dan kanak-kanak yang diurut 15 minit sebelum tidur mampu tidur lena tanpa terjaga.

4. MAINKAN MUZIK TENANG

Lagu-lagu tradisi, rakyat dan kanak-kanak yang menenangkan dapat mengimbaukan memori anak ketika mereka masih dalam rahim. Degupan jantung dan darah yang mengalir dalam badan membuatkan bayi anda sudah biasa dengan bunyi-bunyian. Bagi keluarga muslim, kita disarankan mengalunkan bacaan ayat suci Al-Quran.

5. BUAIKAN BAYI

Gerakan buaian atau kerusi tidur boleh buatkan bayi rasa leka dan terbuai hingga tertidur nyenyak. Ayunan buaian dapat meredakan keadaan bayi dan membuatkan mereka terlena lebih lama.

6. ELAK KAFEIN DARIPADA IBU

Bagi ibu menyusu, kafein perlu dielakkan sepanjang tempoh ini. Antara minuman berkafein perlu dielakkan ialah teh, kopi dan minuman bergas.

Bayi akan mendapat kesan sampingan selepas minum susu ibu yang ada kafein. Ingat, badan bayi mengambil masa hingga 97 jam untuk hilangkan kesan kafein dalam tubuh hingga menyebabkan mereka jadi susah hendak tidur.

7. MAKAN KERAP WAKTU SIANG

Kerap makan ketika siang mampu membantu tidur yang lena di malam hari. Bayi mempunyai saiz perut kecil dan perlu makan kerap. Jadi, kerapkan beri makan atau menyusukan anak pada waktu siang supaya dia tidak tidur siang terlalu lama.

8. TAMBAH MAKANAN SEBELUM TIDUR

Berikan susu terakhir sebelum tidur. Perut kenyang akan mengelak bayi terjaga kelaparan pada waktu malam.

9. AJAR BEZAKAN MASA TIDUR SIANG DAN MALAM

Pada waktu malam, pastikan lampu sedikit malap, berbanding cerah ketika siang.Suasana malam juga sepatutnya lebih sunyi berbanding waktu siang. Rutin ini dapat membantu anak tidur lena dan lebih lama sepanjang malam.

10. JANGAN GANGGU TIDUR

Elakkan mengganggu bayi dengan menukar lampin ketika dia sedang menyusu. Waktu seperti ini akan membuatkan bayi tidak selesa dan merengek. Tunggu hingga anak betul-betul lena, kemudian barulah ditukarkan lampinnya.

11. BIAR BAYI TIDUR KETIKA MENYUSU

Bayi akan mudah lena ketika menyusu kerana hormon akan terhasil yang membuatkan mereka selesa.

12. TIDUR BERSAMA BAYI

Kajian membuktikan, bayi dan ibu yang ada kitaran tidur sama dapat saling membantu mendapatkan tidur lebih berkualiti.

13. BAUAN IBU

Ini memang benar, jika anak tidur berasingan, letakkan baju ibu yang sudah digunakan dan apa saja objek atau pakaian yang boleh buatkan bayi rasa ibu sedang ada bersamanya.

SUMBER: BellyBelly.com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda