MASALAH betul bila susu badan sikit. Tamat tempoh berpantang, ibu perlu mula masuk kerja semula dan tiba-tiba kuantiti susu badan merudum teruk kerana tidak lagi kerap menyusu dan kurang pula masa mengepam susu.

Masalah kurang susu badan memang buatkan ramai ibu bimbang kerana bayi mereka tidak lagi dapat susu secukupnya. Tambahan pula jika si kecil cuma pandai minum susu ibu semata-mata. Apa yang perlu kita buat untuk membanyakkan semula pengeluaran susu badan?

1. KERAP MENYUSU

Lambat atau tunda menyusukan bayi juga boleh jadi punca susu badan kurang. Sebaiknya, setengah jam selepas bersalin, berikan susu badan kepada bayi. Bayi yang kerap menyusu dapat bantu menambahkan pengeluaran susu badan.

Walaupun bayi tidak lapar, cuba susukan kerana jika bayi masih ingin menyusu, mungkin dia masih lapar. Lakukan perkara ini pada minggu awal kelahiran. Susukan bayi dalam 8 hingga 12 kali sehari selama 10-30 minit.

2. PASTIKAN CUKUP TIDUR

Normal bagi ibu yang ada anak kecil mengalami masalah kurang tidur, tambahan lagi selepas baru bersalin. Bagaimanapun, tidur tidak cukup akan mempengaruhi produktiviti susu badan ibu.

Ibu mesti banyak berehat dan tidur sekiranya ada peluang. Jika bayi tertidur selepas menyusu, ibu mesti ambil peluang melelapkan mata!

3. MINUM BANYAK AIR

Minum air putih 6-8 gelas sehari supaya tubuh sentiasa terhidrat. Jika ibu kurang air, badan akan kurang menghasilkan susu.

4. PAM SUSU

Sekiranya ada masa lapang atau bayi tidur, biasakan diri mengepam susu badan. Sebaiknya, pam susu setiap tiga jam sekali. Ini dapat merangsang pengeluaran susu dan melancarkan pengeluaran susu badan.

Mengepam susu juga dapat membantu ibu yang bekerja menyediakan stok susu lebih awal sebelum masuk kerja nanti. Dapatkan tip simpan susu badan di pautan ini: Panduan Lengkap Cara Simpan Susu Ibu untuk Bayi.

5. MAKANAN SIHAT

Ada beberapa jenis makanan dapat meningkatkan pengeluaran susu seperti mengamalkan minum susu, makan lobak putih, sawi, kismis, badam dan makanan yang mengandungi vitamin B. Paling berkesan menambah susu ialah banyakkan makan kurma!

Bagaimanapun, ibu mesti ikut pola pemakanan betul dan seimbang. Selain itu, banyakkan juga makan makanan yang kaya dengan air seperti buah dan sayur.

6. AMBIL SUPLEMEN

Pilih suplemen yang betul dan berbincang dengan doktor sebelum ambil sebarang suplemen. Jangan beli saja! Risau juga kalau ada kesan sampingan ke atas bayi.

7. JANGAN DIET!

Jangan fikir hendak diet dulu! Sebenarnya, jika kita mengamalkan pola makanan seimbang dan menyusukan bayi, peluang menurunkan berat badan lebih tinggi.

Jangan amalkan diet tidak sihat. Tambahan pula, wanita yang menyusukan bayi memerlukan tambahan 300-500 kalori sehari untuk mengekalkan pengeluaran susu dan kesihatan badan.

8. URUT PAYUDARA

Urut secara lembut payudara untuk meningkatkan pengeluaran susu. Lakukan urutan payudara berhampiran dada dan tolak lembut menghala ke puting. Buat pada kedua-dua belah payudara.

9. DAPAT SOKONGAN

Sekiranya ibu ada masalah laktasi (menghasilkan susu badan), jangan takut berkongsi masalah dan dapatkan nasihat orang berpengalaman seperti ibu, ibu mertua, kakak atau rakan. Dapatkan juga nasihat pakar laktasi dan doktor.

10. GUNA KEDUA-DUA BELAH

Jangan biar bayi hanya menyusu sebelah payudara sahaja. Jika bayi selesai menyusu sebelah kiri, beri pula sebelah kanan supaya bayi biasa dengan kedua-dua belah payudara ibunya. Ibu boleh cuba beberapa posisi menyusu yang betul. Rujuk pautan ini: 5 Posisi Menyusu Anak dengan Betul.

11. JAGA EMOSI

Tiada salah ambil masa pergi bercuti untuk menenangkan diri kerana ini mampu melancarkan pengeluaran susu badan.

Lupakan sekejap soal kerja di pejabat atau di rumah. Pergi menjamu selera dan susukan si manja! Emosi ibu sangat mempengaruhi pengeluaran susu badan. Jangan lupa semak 12 Barang Bayi Wajib Bawa Ketika Pergi Bercuti!

12. JANGAN BIMBANG

Ada juga ibu sejak awal menganggap badan mereka tidak dapat menghasilkan banyak susu, walhal sebenarnya ibu tiada masalah kekurangan susu. Asalkan bayi masih aktif, masih mahu menyusu dan tiada masalah kencing, ini bermakna tiada masalah kurang susu.

Jangan risau jika awal kelahiran, ibu mengalami masalah kurang susu. Ini kerana selepas kolostrum keluar pada susu ibu, penghasilan susu akan lancar tapi ia mungkin mengambil sedikit masa.

SUMBER: Web Md

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda