KALAU ikut pesan orang dulu-dulu, banyak sangat pantang larang dan petuanya. Kadangkala ada yang tidak relevan, tetapi sebab mahu menjaga hati ibu bapa, kita layankan juga.

Bukan menafikan, tetapi kebanyakan pesan dan petua itu ialah mitos yang tidak relevan dengan tumbesaran bayi. Mari kita tengok antara amalan orang dulu-dulu yang mungkin kita pernah buat.

1. HIDUNG MANCUNG

Kalau mahu anak hidung mancung, kita perlu menarik hidung anak kita setiap pagi, lagi kerap lagi cepat hidung mancung. Sebenarnya, tarik hidung tidak ada kaitan dengan mancung hidung kerana bentuk batang hidung bersifat genetik.

2. PAKAI SARUNG KAKI DAN TANGAN 

Kata orang tua-tua, bayi baru lahir wajib dipakaikan sarung tangan dan kaki sepanjang masa. Sebenarnya, pemakaian sarung kaki dan tangan hanya perlu ketika suhu sejuk dan elak anak kita mengaru mukanya dengan kuku yang mula panjang. Kesan buruknya, boleh menganggu perkembangan motorik anak.

3. BUANG SUSU SEBELUM BERI ANAK MINUM 

Ada atau tidak pernah buat perkara ini? Orang tua-tua dulu kata, sebelum menyusukan anak kita perlu buang atau perah keluar dulu susu awal kerana susu itu sudah basi. Susu ibu tidak pernah basi melainkan yang sudah diperah dan dibiarkan dalam tempoh lama di luar.

4. BABY WALKER BANTU ANAK BERJALAN

Mahu anak cepat jalan, letak anak dalam baby walker! Sebenarnya, perkara itu memberikan kesan tidak baik kepada perkembangan anak. Anak yang duduk dalam baby walker lebih lambat berjalan berbanding selalu merangkak.

5. CUKUR RAMBUT

Orang tua-tua kata, kena cukur rambut anak sampai licin supaya rambut lebat dan hitam. Biasanya rambut yang tumbuh lebih kasar berbanding rambut sejak lahir. Walaupun tidak benar tetapi amalan mencukur rambut anak ini sebenarnya banyak memberi kebaikan kepada anak kita.

6. LESUNG PIPIT

Jika mahu lesung pipit kita kena kerap menekan pipi anak. Sebenarnya lesung pipit terjadi sejak bayi lahir lagi yang disebabkan fungsi otot bahagian muka yang tidak berfungsi baik.

7. BENGKUNG KAKI

Anak baru lahir perlu dibengkung kaki agar jalan cantik apabila besar nanti. Sebenarnya, bayi baru lahir kaki sedikit bengkok kerana kedudukan dalam rahim yang sempit. Jika ada yang bengkok, amalan mengurut kaki mengikut praktik fisioterapi ialah yang terbaik.

8. POTONG KUKU

Bayi baru lahir tidak boleh dipotong kuku jika usia belum sampai sebulan. Orang dulu takut jika kita memotong kuku anak, nanti terluka. Sebaliknya, kita perlu potong kuku anak apabila kukunya mula panjang. Sekarang ini, sudah ada banyak peralatan canggih untuk potong kuku, pilih yang bersesuaian.

9. JEMUR BAYI JAUNDIS

Ramai ibu percaya menjemur bayi bawah sinaran matahari dapat hilangkan kuning bayi. Sebenarnya, pakar perubatan tidak menggalakkannya kerana hanya rawatan fototerapi di hospital saja dapat beri kesan positif ke atas jaundis dialami bayi.

10. SIMPAN TALI PUSAT

Pusat anak kita yang sudah jatuh perlu disimpan dengan elok supaya tidak jauh dengan kita. Kalau ada adik-beradik, perlu disimpan bersama supaya tidak selalu bergaduh. Sebenarnya, tali pusat anak kita sunat ditanam kerana salah satu anggota badan yang perlu dihormati.

11. MAKAN NASI DAN PISANG

Amalan ini selalu dilakukan zaman nenek moyang dulu untuk mengelakkan anak sering lapar, lalu diberikan pisang dan nasi. Sebenarnya pisang berbahaya untuk bayi kerana boleh menyebabkan sembelit, tambahan lagi sistem pencernaan bayi belum matang.

12. MANDI AIR SEJUK 

Bayi perlu dimandikan dengan air sejuk supaya tulang cepat keras. Sebenarnya, tidak baik untuk bayi baru lahir. Kita boleh mandikan anak dengan air sejuk apabila usianya sudah setahun ke atas.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda