SIAPA pernah fikir, kalau mahu pergi bercuti mesti kena tunggu anak besar sikit. Bukan apa, susah mahu bawa anak kecil sebab banyak barang perlu diangkut. Apatah lagi kalau destinasi percutian itu jauh, nampak gayanya memang terpaksalah memendam impian sementara anak masih kecil.

Rasanya macam rugi pula kalau kita tidak gunakan kesempatan yang ada untuk bercuti dengan anak walaupun dia masih bayi. Apa yang perting, perancangan teliti dapat membantu kita menguruskan bayi dengan lebih cekap dan teratur.

Sekarang, kami akan bantu anda senaraikan barang yang perlu dibawa ketika bercuti nanti:

1. KERUSI KERETA BAYI

Kalau bercuti dan memandu kereta, kerusi keselamatan bayi wajib disediakan. Bukan setakat kereta, kerusi ini sangat berguna kalau menaiki pengangkutan awam seperti kapal terbang, bas atau kereta api.

2. STROLER

Kalau bercuti di bandar ataupun lokasi yang memerlukan kita banyak bergerak, mesti bawak stroler! Bukan saja mengurangkan keletihan, stroler juga memudahkan kita menyimpan barang anak seperti beg lampin, botol susu, mainan dan lain-lain. Lagi mudah kerja kita sebab boleh tidurkan bayi dalam stroler!

3. CARRIER

Baby carrier atau anduh bayi atau pengendong sangat berguna ketika berjalan di tempat sibuk. Malah, anduh dapat memastikan si bayi lebih tenang kerana berada dekat dengan ibu bapanya.

4. SELIMUT

Untuk pastikan bayi sentiasa selesa, bawa selimut yang selalu digunakan di rumah. Bau dan tekstur selimut yang selalu dihidu setiap hari akan membuatkan dia rasa selesa seperti di rumah.

5. LAMPIN MESTI ADA EKSTRA

Bawa lampin pakai buang secukupnya sepanjang tempoh bercuti dan tambahkan ekstra untuk hal kecemasan, mana tahu nanti tidak cukup. Lampin mungkin boleh dibeli di tempat percutian, tetapi risau juga kalau jenis lampin yang selalu anak pakai itu tiada di sana, terutama kalau anak ada alahan kulit.

6. BEG LAMPIN

Memudahkan kita untuk letak kesemua peralatan lampin.

7. TISU BASAH

Untuk pastikan bayi kekal bersih dan memudahkan kita untuk membersihkannya, jangan tertinggal tisu basah OK!

8. PAKAIAN

Bawa pakaian mencukupi sepanjang bercuti dan pastikan sesuai dengan cuaca di sana. Kalau bawa bayi keluar hotel, bersedialah dengan pelbagai kemungkinan seperti kemalangan kecil, muntah, susu tumpah, pakaian kotor, berpeluh dan sebagainya. Bawa baju ganti.

9. TOPI

Bawa sekurang-kurangnya satu topi untuk melindungi muka dan leher bayi daripada terkena cahaya matahari.

10. BOTOL SUSU

Jangan terlupa, nanti anak lapar, meragam pula dia. Jika beri susu badan, pamkan susu lebih awal dan letakkan dalam botol susu sebelum keluar hotel.

11. SEMBURAN HALANG NYAMUK

Jika bawa bayi bercuti dalam kawasan hutan, jangan terlepas pandang ubat pelindungini. Bagi mengelak anak digigit nyamuk, semburkan ubat anti-nyamuk sebelum keluar hotel.

12. PELINDUNG MATAHARI

Jangan cakap bayi tidak perlukan pelindung matahari. Kulit bayi halus perlu disapu pelindung matahari (untuk bayi). Lainlah kalau memang bercadang bawa bayi keluar malam sahaja.

TIP TAMBAHAN:

  • Bawa kit kecemasan yang memuatkan plaster, minyak, antiseptik dan ubat untuk kegunaan si manja.
  • Barang ibu jangan sampai terlupa! Bawa selendang untuk menyusu sekiranya anak masih menyusu badan.
  • Kalau bercuti luar negara, jangan lupa bawakan passport anda dan anak. Pastikan sudah diletakkan dalam beg sebelum keluar rumah.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda