IBU dalam pantang perlukan rehat yang cukup kerana mereka sedang proses memulihkan kesihatan badan yang stres dan sakit selepas bersalin. Jadi, kita sebagai tetamu sepatutnya tahu cara menghormati dan menunjukkan adab yang baik ketika melawat mereka.

Kasihan pula melihat sesetengah ibu berpantang yang tetamunya datang berkunjung tanpa tahu adab sampai buatkan dia naik rimas. Tidak kiralah rakan, saudara atau jiran, semua tetamu mesti beradab sopan sepanjang melawat ibu dan bayi baru lahir.

Berikut 10 adab yang mesti dipraktikkan ketika melawat ibu berpantang:

1. PILIH MASA SESUAI

Kena pandailah memilih masa sesuai supaya nanti tidak menggangu ibu dan bayi berehat. Jangan pergi awal pagi atau lewat malam. Paling pantang, jangan pergi waktu Maghrib.

2. BERITAHU SEBELUM DATANG

Konon hendak buat kejutan datang secara mengejut. Sekurang-kurangnya beritahu atau tanya bilakah masa sesuai untuk datang. Selalunya ibu perlukan masa rehat atau tidur, jadi lebih baik kita beritahu supaya ibu lebih bersedia.

3. PASTIKAN SIHAT

Kalau demam, batuk atau selesema jangan sesekali pergi melawat ibu dan bayi dalam tempoh berpantang. Sistem imun bayi belum kuat, dan mudah dapat jangkitan melalui udara. Jadi kalau rasa diri tidak sihat, sila tangguh dulu niat pergi melawat OK!

4. MINTA IZIN DUKUNG ATAU SENTUH BAYI

Perkara ini jangan pandang remeh. Kadangkala ibu tidak suka orang luar mendukung bayinya bukan sebab sombong tau! Tetapi sebab dia risaukan kesihatan anaknya. Badan bayi masih lemah, tambahan lagi kalau bayi yang kurang sihat.

Kita pula sedang bawa segala macam jenis bakteria dan kuman. Jadi, seeloknya tanya dulu sebelum dukung bayi.

5. BAWA BUAH TANGAN

Bawa buah tangan, hadiah atau sekurang-kurangnya berikan duit kepada bayi. Kalau ikutkan adat orang Melayu, letak duit bawah bantal bayi!

6. JAGA MULUT

Jangan sedap mulut hendak komen itu ini. Jangan sesekali cakap perkara sensitif yang boleh mengguriskan hati ibu. Misalnya, dialog klise yang selalu kita dengar seperti:

  • “Kenapa hang tak bagi susu badan? Lagi baguskan?”
  • “Kenapa anak tak ada muka kau pun eh?”
  • “Eh, anak yang ini tak putih sangat macam abang dan kakak dia”

Amboi, sedapnya mengata. Jaga mulut tau!

7. PASTIKAN BERSIH

Diri kita wajib bersih sebersihnya sebelum pergi melawat ibu dan bayi baru lahir. Pastikan baju, tangan, rambut dan lain-lain bahagian badan sentiasa bersih. Kalau bawa bakteria dan kuman, kasihan kepada bayi. Nanti tidak pasal-pasal terkena pula jangkitan.

8. JANGAN KERAP CIUM

Ini kena guna common sense, atau akal budi. Bayi baru lahir tidak boleh kerap dicium. Hormati ibu, jangan sesekali cium anak orang, terutama di mukanya. Si ibunya sendiri pun tahan diri hendak cium anak sendiri, kita pula dengan senang hati pergi tonyohkan hidung dan mulut ke muka bayi.

Bukan apa, tunggulah besar sikit sebelum hendak cium si kecil itu puas-puas! Baca sebab kenapa kita tidak boleh cium bayi baru lahir di pautan ini >>> Bahaya Cium Mulut Bayi.

9. JANGAN LAMA-LAMA

Masa ini juga hendak bergosip, dan bersembang sampai lupa tengok jam. Hormati privasi ibu dan bayi. Ibu hendak susukan anaknya, mahu ke tandas, baring-baring atau tidur. Jadi kalau datang melawat, kenalah pandai atur masa. Jangan berlama-lama, nanti ibu tidak selesa.

10. JANGAN PANDAI-PANDAI

Jangan pandai-pandai pergi ubah bedung bayi, dan letak itu ini. Boleh tegur tetapi berpada-pada. Elakkankan mengomen semua perkara walaupun ibu baru kali pertama melahirkan. Mungkin ibu ikut cara berpantang tersendiri, jadi simpan dulu pandai kita tentang segala benda yang kita tahu.

11. JANGAN CAKAP KUAT-KUAT

Jangan cakap atau gelak kuat-kuat. Nanti terkejut bayi yang sedang tidur. Sembang perkara baik-baik dan elakkan bergosip. Seperkara lagi, kalau perlu jawab telefon, sebaiknya keluar supaya tidak ganggu ibu dan bayi.


Itulah adab melawat ibu berpantang. Akhir sekali, jangan pula mengharapkan dihidangkan makanan sedap-sedap ketika ke rumah ibu berpantang. Selamat beramal dan juga lupa kongsikan! 😀

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda