RAMAI pasangan risau atau takut-takut mahu bawa anak kecil mereka naik kapal terbang. Sebenarnya, tiada apa yang perlu dirisaukan pun. Cuma pengalaman terbang bersama si kecil akan jadi sukar sekiranya kita tidak buat persediaan awal yang betul dan teliti.

Ingat, terbang di udara tidak sama dengan bergerak atas jalan. Pengalaman dan situasi dirasakan memang berbeza, terutama buat bayi kecil.

Namun, kalau ikut 10 tip di bawah ini, mungkin sedikit sebanyak kita dapat bawa si kecil terbang ke angkasa dengan aman dan sentosa. 🙂

1. TIBA AWAL DI LAPANGAN TERBANG

Jangan tiba lewat di lapangan terbang kalau tidak mahu memusnahkan segala pengalaman indah kita terbang bersama si manja.

Tiba awal di lapangan terbang dapat memberikan kita banyak masa untuk beri si kecil makan, menukar lampin dan bermain hingga dia penat. Ini dapat memudahkan urusan kita dalam kabin kerana bayi akan tidur nyenyak sepanjang perjalanan kerana letih bermain.

2. JADI ORANG TERAKHIR NAIK PESAWAT

Lebih baik masuk lewat sedikit berbanding penumpang lain. Ini kerana masa menunggu penumpang lain menaiki pesawat mungkin merimaskan si kecil.

Dengan ruang sempit dan penumpang lain berpusu-pusa masuk ke dalam kabin, situasi ini boleh membuatkan si kecil duduk tidak diam.

3. SEDIAKAN MAINAN DAN AKTIVITI

Jangan lupa bawa sekali mainan anak atau buku dan pensil untuk menconteng. Sekiranya penerbangan mengambil masa lama, anda boleh alihkan perhatian si manja dengan gajet atau mainan.

Muat turun video dan kartun untuk tontonan supaya dapat mengurangkan rasa bosan dan pada masa sama si kecil dapat melakukan aktiviti menarik lain.

4. SEDIAKAN SNEK MENCUKUPI

Jika si kecil lapar, sudah tentu mereka mula meragam. Jadi untuk mengurangkan risiko it sepanjang penerbangan, bawa makanan ringan. Bukan makanan tidak berkhasiat, tetapi makanan seperti yogurt, pisang, epal, telur rebus dan makanan lain.

5. BAWA BANYAK TISU BASAH

Bawa banyak tisu basah untuk memudahkan kita mencuci makanan atau minuman yang mungkin tertumpah. Ini juga dapat digunakan untuk mencuci tangan si kecil ataupun jika anak termuntah. Sentiasa cuci tangan anak dengan tisu basah supaya sentiasa bersih.

6. BERI SUSU BADAN JIKA MASIH MENYUSU

Perubahan tekanan udara apabila pesawat berlepas dan mendarat akan membuatkan telinga bayi rasa tidak selesa.

Menyusukan bayi dapat membantu mengurangkan rasa bengang dan sakit telinga. Jika mengambil penerbangan malam, menyusukan badan dapat membuatkan si manja tidur lebih nyenyak dan selesa.

7. BELIKAN KERUSI KHAS UNTUK BAYI

Jika si kecil berusia 2 tahun ke atas, belikan mereka kerusi sendiri. Si kecil memerlukan ruang untuk tidur dan rasa selesa.

Jika ruang terlalu sempit dan tidak selesa, si kecil akan mudah meragam kerana rimas.

8. PILIH KERUSI MUDAH KELUAR DAN MASUK

Pastikan kerusi yang dibeli mudah untuk keluar dan masuk. Jangan pilih kerusi di bahagian tengah pesawat kerana menyukarkan kita dan anak untuk keluar masuk. Malah kerusi tengah juga jauh dari tandas.

Jika ibu memberi susu badan, pilih kerusi sebelah tingkap untuk privasi ketika mahu menyusukan anak.

9. TUTUP TELINGA BAYI

Perubahan tekanan udara akan membuatkan telinga si kecil bingit dan sakit. Apa yang boleh dilakukan ialah tutup telinga dia ketika pesawat berlepas dan mendarat. Lebih baik, susukan anak ketika masa berlepas dan mendarat.

10. BAWA PAKAIAN LEBIH

Sekiranya baju anak kotor atau basah, semestinya si manja rasa tidak selesa dan comot. Bawa pakaian lebih untuk pastikan anak sentiasa selesa.


Semoga bermanfaat buat ibu bapa di luar sana. Jom jadikan penerbangan dan percutian bersama si kecil jadi lebih menyeronokkan dengan mencuba tips yang telah dikongsikan.

SUMBER: BellyBelly

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda