MERENGEK hingga menangis sambil meraung-raung supaya keinginan dipenuhi ialah antara kebiasaan dan taktik si kecil. Jangan terus dituruti, sebaliknya perbetulkan perilaku anak kerana situasi tersebut tidak bagus untuk perkembangan sikap dan emosinya.

Berikut ada beberapa cara yang boleh dibuat untuk mencegah dan mengurangkan sikap dan tingkah laku seperti itu:


1. TIDAK SEMESTINYA PERLU IKUT

Fahami terlebih dahulu tuntutan atau keinginan anak. Tidak semestinya kita perlu serta-merta menurut atau terus menolak kemahuan anak. Sekiranya apa yang diminta itu wajar dengan keperluan, tiada salah kita turuti. Bagaimanapun, beri satu tempoh supaya dapat melatih anak bersabar.

2. JANGAN MUDAH BERJANJI

Jangan mudah berjanji untuk mengelak anak terus merengek. Anak mudah ingat janji dan dia akan tuntut hingga dipenuhi. Jelaskan kepadanya bahawa keinginan tidak sama dengan keperluan. Memberi janji tanpa ditepati, mengajar anak kita mungkir janji.

3. PERHATIKAN ANAK

Saat mula menangis kerana keinginannya tidak dipenuhi, perhatikan tingkah lakunya. Sambil menangis, anak akan memandang atau memberontak. Anak akan memaksa mata mengeluarkan air mata. Ini petanda dia sedang bermain dengan perasaan kita. 😉

4. BERI HUKUMAN KECIL

Jika anak mula bertindak ganas (memukul atau merosakkan barang) kerana permintaan tidak dipenuhi, masukkan dia ke dalam bilik tidur. Jelaskan dia hanya boleh keluar dari bilik selepas tenang.

5. PELUK ANAK

Peluk anak jika cara di atas tidak membantu. Peluk anak dan cakap, “Ibu sayang adik, sebab itu ibu buat macam tu. Adik jangan buat lagi ok?” Jelaskan kepada anak, tindakan kita semata-mata kerana sayang dan minta anak untuk berubah.

6. BAWA MASUK KERETA JIKA DI TEMPAT AWAM

Bawa anak masuk ke dalam kereta atau tandas jika anak mula ganas atau menjerit di tempat awam. Tunggu hingga anak tenang. Katakan kepadanya jika dia tidak berhenti merengek, kita akan terus balik rumah.

7. BERSABAR

Tenangkan diri kita apabila berada di tempat umum supaya tidak terjebak dalam permainan anak. Ini kerana apabila kita panik, kita akan segera menghentikan tangisan anak dengan memenuhi kehendaknya.

8. JAUHKAN DIRI

Jauhkan diri dengan bawa masuk ke dalam bilik untuk tenangkan diri. Tarik nafas dan tenangkan fikiran. Apabila anak sudah tenang, ajak anak buat aktiviti lain.

9. JANGAN SAMPAI TERJEBAK

Sekiranya kita tidak mahu memenuhi kehendaknya, pegang teguh pada pendirian dan jangan terjebak. Jangan mudah lemah kerana itu akan menguatkan pemahaman anak yang kita mudah dipermainkan.

10. TEGAS KATAKAN TIDAK

Ajak anak ke bilik mandi jika dia pura-pura menangis dan muntah. Anak akan menggunakan segala cara menggoyahkan pendirian kita. Ajak anak ke bilik mandi, katakan dia tidak boleh muntah di sembarangan tempat.


Tegas bukan bermakna tidak sayang atau berlaku kasar dengan anak. Kita hanya cuba mendidik anak supaya tidak memebesar sebagai anak cenggeng. Bukan semua perkara kita harus tegas. Jika perkara itu untuk kebaikannya, apa salahnya kita penuhi. 🙂

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda