ANAK sudah 5 tahun, tetapi masih tidur sebilik dengan ibu dan ayah. Apabila minta tidur berasingan, macam-macam alasan disebutnya. Kita pula tidak yakin anak dapat tidur sendiri. Risau, cemas dan macam-macam perasaan ada. Sudahnya, dibiarkan saja dia tidur bersama kita sampai besar panjang.

Sebenarnya, tip pertama untuk mengajar anak tidur sendirian di bilik ialah kita sendiri perlu yakin dengan dia. Kita juga boleh amalkan beberapa tip di bawah ini supaya dia terbuka hati, seronok dan relaks untuk tidur sendirian.

1. ASINGKAN TEMPAT TIDUR

Latihan awal adalah bermula dengan memisahkan dia dari tempat tidur. Misalnya, berikan anak tidur tilam lain walaupun dalam bilik sama.

2. SEDIA BILIK IKUT CITA RASA ANAK

Hiaskan bilik anak mengikut cita rasanya. Pastikan bilik kemas, selesa dan menarik. Ketika buat dekorasi, cuba libatkan anak dengan idea yang mereka mahukan. Apapun, biarlah hias mengikut kemampuan.

3. TERANGKAN KENAPA DIA PERLU TIDUR SENDIRI

Beritahu anak lebih awal kenapa dia perlu tidur di bilik sendiri. Jelaskan, dia sudah besar dan perlu berdikari. Hanya lakukan bila anak sudah bersedia!

4. TEMAN TIDUR

Sebagai peringkat awal, ibu dan ayah boleh bergilir menemankan anak tidur dalam bilik. Tapi beritahu dia, kita cuma teman sampai dia tidur saja. Jadi, tidaklah dia tercari-cari kalau terjaga tidur nanti.

5. LATIH TIDUR WAKTU SIANG

Jika pada waktu malam anak kita masih tidak boleh tidur sendiri. Cuba latih anak tidur di bilik sendiri ketika siang.

6. SEDIAKAN TEMPAT BERMAIN 

Sediakan tempat bermain dan lakukan aktiviti bersama dalam bilik anak supaya dia dapat merasakan bilik itu kepunyaannya.

7. AJAR ANAK LAWAN PERASAAN TAKUT

Apabila anak takut, itu normal. Jadi kitalah yang memainkan peranan untuk mengajarnya bagaimana melawan perasaan takut. Beritahu anak, bilik tidur kita tidak berkunci dan dia boleh masuk bilik sekiranya memerlukan apa-apa (pastikan ketuk dulu).

8. DOA

Ajar anak membaca doa tidur dan surah 3 QUL sebelum tidur.

9. TETAPKAN WAKTU TIDUR

Ajar anak tidur pada waktu ditetapkan. Elakkan anak guna peranti yang boleh menganggu masa tidurnya.

10. BERI PUJIAN ATAU GANJARAN

Jika anak berjaya tidur sendiri. Berilah pujian atas kejayaannya, pasti dia jadi seronok dan lebih yakin untuk tidur pada malam seterusnya. Apabila sudah biasa, berikan dia ganjaran seperti permainan atau bawa bercuti.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda