RAMAI menganggap cukup rutin memberus gigi sudah cukup untuk memastikan gigi kekal sihat dan cantik. Sebenarnya, berus gigi terbaik juga mempengaruhi tahap kesihatan gigi.

Begitu juga kanak-kanak, pemilihan berus gigi yang sesuai bukan saja mendorong anak lebih seronok mahu memberus gigi, tetapi dapat memastikan kesihatan gigi mereka.

Jadi, apa kata kita baca status Facebook dikongsikan Dr Iqbal Rosali tentang tip memilih berus gigi yang baik.

*Status di bawah sudah disunting tanpa menjejaskan maksud kandungan asal penulis. Status sebenar boleh dirujuk pada pautan di akhir artikel. Harap maklum.


TIP PILIH BERUS GIGI

Memilih berus gigi yang betul adalah penting supaya penjagaan kesihatan gigi lebih berkesan. Bagaimanakah memilih berus gigi yang betul?

1. BERUS GIGI ADA 3 BAHAGIAN:

  • Pemegang
  • Kepala
  • Berus

Berus gigi terbaik adalah yang mudah dan selesa dipegang, saiz kepala sesuai dengan mulut sendiri dan ada berus lembut.

2. KANAK-KANAK 

Pilihlah berus gigi bersaiz kecil dan berus lembut. Berus gigi kanak-kanak kebiasaannya ada getah pada bahagian pemegang. Pemegang juga bersaiz besar sedikit supaya mudah digenggam semasa memberus gigi. Berus gigi kanak-kanak juga mempunyai kepala lebih kecil kerana ruang mulut kanak-kanak juga kecil.

3. KANAK-KANAK KELAINAN UPAYA/ISTIMEWA 

Bagi kategori ini, kebiasaannya berus gigi diubah suai, terutama bahagian pemegang. Pengubahsuaian dilakukan bagi memudahkan kanak-kanak ini, terutama yang mengalami masalah koordinasi memegang berus gigi.

4. BERUS

Ketika membeli berus gigi, pastikan kita membaca terlebih dahulu label. Ada yang dilabel ‘extra soft’, ‘soft’, ‘medium’ dan ‘hard’. Seeloknya pilihlah ‘extra soft’ atau ‘soft’.

Pemilihan berus gigi yang tidak betul boleh merosakkan gusi dan menyebabkan gusi menyusut. Ada orang selesa menggunakan berus keras kerana katanya lebih bersih. Ini salah kerana berus keras susah membersihkan celahan gigi.

5. BENTUK BERUS

Berus gigi ada bermacam-macam bentuk. Ada bulu berus yang sangat halus, ada bulu berus disusun rapat, ada bulu berbentuk bulat di hujung dan ada berbentuk tirus.

Malah, ada berus gigi yang ada lapisan getah disusun antara berus gigi untuk kesan memberus lebih efektif. Mahu pilih bentuk berus yang mana? Terpulang pada kesesuaian dan keselesaan masing-masing.

6. KEPALA

Jika kepala pada berus gigi terlalu besar, ia mungkin tidak muat untuk dimasukkan ke gigi paling hujung, terutamanya gigi geraham ketiga bahagian atas. Tidak semua orang boleh menggunakan jenis kepala yang sama. Lain orang lain keperluan.

Jika berus gigi tidak dapat membersihkan gigi paling hujung, bertukarlah kepada kepala berus gigi yang lebih kecil atau tirus.

7. PEMBERSIH LIDAH

Pada zaman inovasi hari ini, kebanyakan berus gigi dilapikkan satu lapisan getah ekstra di bahagian belakang kepala berus gigi. Lapisan getah itu boleh digunakan untuk membersihkan mukosa seperti pipi, bibir dan lidah.

Kebanyakan orang rasa geli dan gatal jika menggosok lidah dengan berus, jadi apabila memilih berus gigi, pastikan yang ada pembersih lidah sekali.

Kajian menunjukkan bakteria masih lagi tertinggal dalam mulut walaupun selepas menggosok gigi kerana kawasan seperti pipi dan lidah tidak dibersihkan. Penggunaan berus gigi dengan pembersih lidah ini boleh membantu.

8. BERUS GIGI ELEKTRIK

Kajian menunjukkan tidak ada perbezaan menggunakan berus gigi elektrik atau biasa. Apa yang penting, berus gigi boleh membersihkan semua permukaan gigi dan kawasan di dalam mulut, serta tidak mendatangkan kecederaan pada gusi

9. JANGAN KONGSI BERUS GIGI.

Tidak geli ke?

10. TUKAR BERUS GIGI SETIAP 3 BULAN 

Apa yang penting untuk penggunaan yang lebih efektif. Atau apabila berus gigi sudah buruk dan bulu berus sudah tidak lagi lurus.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda