WANITA hamil akan mengalami perubahan hormon dan emosi. Sekejap mood OK, sekejap sedih. Kadang-kadang isteri boleh menangis tanpa sebab. Kalau ditanya, jawabnya entah, tetiba rasa hendak menangis.

Fahamilah isteri sepanjang tempoh ini, mood mereka tidak menentu itu pun disebabkan pembawaan si kecil dalam perut yang bakal melihat dunia tidak lama lagi. Jadi, tolong jangan abaikan isteri sebab malas mahu melayan permintaan yang kononnya mengarut atau mengada-ngada itu.

Suami mithali mesti buat 10 perkara di bawah ini:

1. SENTIASA MENDENGAR

Jadilah suami yang sentiasa peka dengan luahan isteri. Mungkin suami selalu dengar keluhan isteri yang dia selalu sakit dan lenguh badan. Dengarlah rintihan dan bantulah kerana mereka memang perlukan perhatian.

2. SENTIASA MEMBANTU

Isteri hamil sentiasa mahukan suami yang sedia membantu tanpa diminta. Ringankan tangan apabila nampak baju tidak berbasuh atau dapur bersepah. Tambahan lagi kalau ada anak ramai, bantulah isteri menguruskan anak.

3. SEDIAKAN TEMPAT TIDUR SELESA

Pastikan tempat tidur isteri selesa sepanjang hamil 9 bulan untuk pastikan dia mendapat rehat yang cukup sebelum bersalin nanti.

4. SEDIAKAN MAKANAN BERKHASIAT

Wanita hamil memerlukan makanan berkhasiat bagi memastikan dia dan anak dalam kandungan sentiasa sihat untuk mendapatkan cukup vitamin atau makanan tambahan.

5. PASTIKAN ISTERI JALANI PEMERIKSAAN RUTIN DI KLINIK

Pemeriksaan rutin ketika hamil adalah wajib untuk memastikan ibu dan bayi dalam keadaan sihat dan selamat. Cari dan pilihlah klinik atau hospital terbaik untuk isteri menjalankan pemeriksaan rutin.

6. RANCANG PERBELANJAAN KELUARGA

Apabila isteri hamil, perbelanjaan keluarga juga akan meningkat kerana kos pemeriksaan rutin bulanan di klinik, termasuk menyediakan bil hospital dan barangan bayi. Rancang kewangan anda.

7. PASTIKAN BARANG KEPERLUAN CUKUP

Pastikan juga barangan bayi seperti lampin, baju, sarung tangan dan kaki tersedia rapi sebelum si kecil lahir. Jangan lupa pakaian seperti kain batik, lampin pakai buang dan baju sebagai persediaan ke hospital apabila bersalin nanti. Sila pekkan awal-awal.

8. CARI DAN PILIH BIDAN SESUAI

Bagi orang Melayu, penjagaan selepas bersalin amat penting. Bidan yang dipilih akan mengurut dan memandikan bayi sepanjang beberapa hari selepas bersalin.

9. FAHAMI ISTERI

Wanita hamil mengalami pelbagai perubahan emosi dan mental. Selalulah bertanya, belai atau urut isteri bagi meringankan kesukaran.

10. DOA DAN SOLAT

Suami jangan terlepas menjalankan tanggungjawab solat sama ada wajib atau sunat. Lakukanlah solat sunat seperti dhuha dan hajat, sentiasa mendoakan keselamatan isteri dan anak yang bakal lahir. Amalkan juga membaca al-Quran.

SUMBER: AshikinHashim

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda