TIDAK lama lagi kita akan menyambut Aidilfitri. Bulan puasa pun sudah terrasa kemeriahan hendak berayakan? Sekarang masing-masing sedang sibuk buat persiapan raya. Cari baju raya, beli perabot baru, hias rumah, siapkan duit raya dan bermacam-macam lagi.

Apabila tiba Raya, pasti ada beberapa perkara yang kita paling seronok hendak buat. Maklumlah, Raya cuma setahun sekali, hari itu jugalah kita kena melaram habis-habisan.

Apa agaknya 10 perkara yang paling seronok setiap kali tiba Hari Raya!

1. BAJU BARU

Kalau bab baju, belum masuk bulan Ramadan lagi kita sudah sibuk hantar baju ke tukang jahit. Bukan setakat baju, tetapi tudung, kasut, seluar semuanya baru! Barulah semangat hendak beraya kalau ada baju baru. Bukan setakat kita, anak-anak pun seronok dapat set pakaian baru.


2. CUTI PANJANG

Apabila tiba musim raya, yahooo…cuti panjang! Walaupun cuti umum dua hari sahaja, pasti ada yang gatal tambah cuti, sebabnya mahu sambut raya lama sikit. Maklumlah, rayakan hari untuk kita bergembira. Lupakan sebentar hal pejabat, jadi apa salahnya cuti lama sikit!


3. HIAS RUMAH

Aabila hari raya sudah dekat, kita sibuk hendak hias rumah, tukar perabot, cat dinding, tukar langsir dan sebagainya. Lagi best, bila suami dan anak pun turut sama tolong kita mengemas. Lap kipas, lap cermin tingkap, tetas rumput sampai semua bersih! Barulah rumah berseri-seri hendak menyambut raya.


4. BALIK KAMPUNG

Jika hari biasa, agak susah kita cari masa balik kampung. Seronok betul dapat blik kampung jenguk ibu dan ayah, saudara-mara, sepupu sepapat, kawan-kawan, jiran dan semua yang ada di kampung tu! Inilah masanya kita hendak rapatkan silaturrahim. Walaupun jalan sesak, kebas punggung sebab duduk lama dalam kereta, tetapi semangat hendak beraya pasti buat kita teruja sangat!


5. DUIT RAYA

Tidak kira yang menerima atau yang memberi, inilah satu perkara yang buat kita seronok semasa hari raya. Bila hulur saja sampul duit raya kepada anak atau saudara, pasti masing-masing tersenyum lebar sampai telinga. Tidak lengkaplah kalau kita sambut hari raya tetapi tiada sampul duit rayakan?


6. MAKANAN SEDAP

Satu perkara paling best waktu raya, mestilah makanan ‘rare’. Biskut raya, dodol, ketupat, rendang, dan macam-macam lagi. Sebab bulan Ramadan sudah habis, jadi masa Raya masing-masing akan menjamu selera dengan asyik! Apa yang anda paling suka makan masa Raya nanti?


7. MERCUN 

Tidak perlu tunggu raya, hari pertama puasa pun kita sudah boleh dengar bunyi mercun. Bukan budak saja seronok, ayah pun ikut sama bakar mercun! Kalau balik kampung lagi best, bakar meriam buluh terus! Hati-hati main mercun, jangan sampai jadi tragedi pulak.


8. OPEN HOUSE

Bukan setakat dapat makan sedap, kutip duit raya, tetapi jadual raya kita padat dengan jemputan ‘open house’ sana sani. Masa inilah paling seronok kalau kita hendak pergi rumah kawan dan saudara mara. Tidak lengkap beraya kalau tidak ziarah rumah sahabat handai dan rakan-rakan?


9. BERMAAFAN

Masa raya ialah masa paling tepat untuk kita bermaafan dan memaafkan sesama sendiri. Buang keruh, dan ambil yang jernih. Pasti hidup akan lebih bahagiakan? Raya nanti, jangan lupa minta maaf kepada ibu bapa, suami, isteri, saudara-mara dan sahabat.


10. LEPAS RINDU PADA KELUARGA

Pada Hari Raya, seluruh ahli keluarga akan berkumpul. Atuk, nenek, sepupu, ibu saudara, bapa saudara hingga kenalan jauh. Semua kita dapat berjumpa. Inilah masa kita mahu lepaskan rindu dan luangkan masa berkualiti dengan keluarga! Jangan lupa ambil gambar keluarga apabila sudah berkumpul nanti.

Semoga Raya kita tahun ini akan lebih meriah dan bermakna. Kepada yang hendak balik kampung nanti, selamat memandu dan berhati-hati di jalan raya!

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda