KITA memang selalu sibuk. Bak kata filem P Ramlee, selagi belum pejam mata, mesti kena kerja, kerja dan kerja. Tetapi ingat, anak dan pasangan sentiasa dahagakan kasih sayang dan perhatian kerana kitalah orang yang paling hampir dengan mereka. Siapa lagi yang perlu mereka mengadu, bercerita, berseronok dan dijadikan idola? Tolong jangan abaikan mereka.

Suka atau tidak, dan sibuk macam mana sekalipun, kita mesti kena curi masa untuk meluangkan masa berkualiti dengan anak dan pasangan tanpa telefon pintar, tanpa meeting itu ini, dan tanpa gangguan sesiapa pun. Kita juga perlu kekal menjadi ikutan terbaik kepada mereka.

Berikut adalah beberapa kesilapan yang kerap dilakukan ibu bapa masa kini dalam menguruskan masa berkualiti dan menjadi role model yang baik untuk anak sepanjang mereka membesar.

1. TIADA MASA BERKUALITI DENGAN ANAK

Dalam memastikan keperluan keluarga sentiasa dipenuhi, segelintir kalangan kita terlupa keperluan meluangkan masa berkualiti dengan anak. Tahukah anda, anak kita memerlukan perhatian khusus daripada ibu bapa sekurang-kurangnya 15 minit setiap hari. Maksudnya, hanya anda dan anak tanpa ada gangguan lain seperti televisyen, telefon pintar dan lain-lain.

2. TIDAK AJAR ANAK BUAT KERJA RUMAH

Ada ibu bapa berpendapat mereka perlu buat segalanya demi anak. Kadangkala, perkara ini menyebabkan anak tidak pandai berdikari kerana sudah biasa dimanjakan.

Ibu bapa perlu faham peranan membesarkan anak dengan kemampuan diri, etika dan tahu berdikari. Ajar anak-anak melakukan perkara asas supaya mereka pandai berdikari apabila ibu bapa tiada di rumah. Dalam erti kata lain ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’.

3. TIDAK BERBUAL TENTANG HAL KEHIDUPAN

Waktu makan malam adalah masa yang tepat untuk ibu bapa bercakap dan berkongsi tentang apa sedang berlaku atau aktiviti setiap ahli keluarga. Kanak-kanak banyak belajar tentang kemahiran bersosial daripada keluarga. Contohnya, bagaimana bercakap dan membincangkan isu-isu penting dengan orang dewasa.

4. TIADA MASA UNTUK DIRI SENDIRI

Segelintir ibu bapa tidak peduli tentang keperluan diri kerana terlalu sibuk menguruskan hal anak hingga gagal memperuntukkan masa untuk diri sendiri.

Setiap orang perlukan masa melakukan perkara yang mereka sukai. Kebanyakan ibu bapa yang baru menimang cahaya mata, mengalami tekanan kerana tidak berjaya mendapatkan masa untuk diri sendiri. Pengurusan masa yang baik dapat meredakan stres, dan pada masa sama anak dapat perhatian secukupnya.

5. TIDAK LUANG MASA DENGAN PASANGAN

Sebaik saja pasangan menimang cahaya mata, anda terus saja berikan fokus sepenuhnya kepada anak itu sampai terlupa meluangkan masa berkualiti dengan pasangan.

Sesekali carilah masa berduaan tanpa anak. Apabila dapat meluangkan masa berkualiti dengan pasangan, anda ada ruang untuk berbincang tentang hal atau penyelesaian untuk menambah baik kebahagiaan keluarga.

6. TIDAK TETAPKAN PERATURAN

Ramai ibu bapa tidak tahu menetapkan peraturan kepada anak kerana menganggap mereka masih kecil dan tidak perlu patuh apa-apa peraturan. Ada juga risau anak akan stres jika mereka dihukum kerana melakukan kesalahan.

Ibu bapa, terutamanya bapa wajib menetapkan peraturan tetapi masih menunjukkan kasih sayang dan belas kasihan. Ajar mereka memahami apakah kelakuan yang tidak seharusnya dibuat, dan akibat daripada perbuatan mereka. Berikan ganjaran kepada anak-anak sekiranya mereka menunjukkan sikap yang baik.

7. KERAP MERUNGUT, LUPA MEMUJI

Ada juga ibu bapa yang buat kesilapan dengan sering merungut, mengherdik dan mengkritik kesilapan anak, tetapi tidak pernah atau jarang sekali memuji kelakuan baik mereka.

Anda sepatutnya berikan perhatian terhadap perkara baik yang mereka lakukan. Tegur kesalahan dengan baik dan ajar mereka perbaiki kesalahan tersebut. Jika ibu bapa dapat mempraktikkan cara ini, anak-anak akan cenderung bekerjasama kepada anda.

8. TIDAK BANTU ANAK TANGANI EMOSI

Anak juga ada pelbagai emosi. Bagaimanapun, kadangkala mereka tidak tahu atau keliru tentang apa yang mereka rasakan atau bagaimanakah cara mengatasi emosi tersebut.

Ibu bapa perlu bantu anak, dan jangan sesekali bercakap seolah-olah anda faham perasaan mereka. Bukan itu yang mereka mahukan. Anda cuma perlu ajar anak cara yang betul mengawal emosi.

9. TIDAK JADI ‘ROLE-MODEL’ YANG BAIK

Anak akan meniru apa yang dilihat dan bercakap apa yang didengar.  Sekiranya ibu bapa mahu anak-anak membesar dengan baik, dan penuh dengan kasih sayang, serta bijak dan tahu menghormati orang lain, anda sendiri harus tunjukkan contoh yang baik.

Ibu bapa harus belajar teknik bertenang dan cuba kawal kemarahan jika anak melakukan kesalahan. Paling penting, jaga bahasa dan kelakuan.

10. BIARKAN ANAK HIDUP DENGAN TABIAT BURUK

Kanak-kanak perlukan tidur yang cukup, makanan sihat, kerap bersenam dan masa yang betul menonton televisyen. Anda harus buat keputusan tegas dan tidak membiarkan mereka berterusan mengamalkan tabiat buruk. Perkara paling asas, ibu bapa sendiri perlu tunjukkan gaya hidup sihat kepada anak-anak.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda