SET bersalin atau berpantang sudah jadi agenda penting untuk dicari sebagai persediaan diri selepas menimang cahaya mata kelak. Saban tahun, ada banyak produk set bersalin dijual di pasaran bak cendawan tumbuh selepas hujan sampai rambang mata dibuatnya.
Walaupun ada pelbagai jenama baharu, kita boleh buat 10 check list di bawah ini sebelum buat keputusan beli apa saja jenama set berpantang. Beli biar betul, kena dengan keperluan dan jangan ikut kehendak sangat. 🙂

1. PILIH JENAMA SET BERSALIN

Jika sudah terbiasa dengan satu-satu jenama atau mahu cuba jenama lain, cuba semak sekiranya jenama itu ada set bersalin yang sesuai. Antara jenama pilihan ibu berpantang ialah Nona Roguy, Tanamera dan Mustika Ratu.

2. TETAPKAN BAJET 

Seperti barangan bayi, set bersalin juga ada banyak jenis. Jadi, sebelum buat keputusan membeli, tetapkan dulu bajet. Apabila sudah ada peruntukan bajet tertentu, barulah boleh mula buat survei dan pilih set bersalin terbaik.

3. MINTA PENDAPAT ORANG YANG PERNAH BELI

Jika ada tukang urut ketika berpantang, apa kata dapatkan pandangannya mengenai set bersalin yang sesuai untuk kita.
Atau, dapatkan pendapat rakan dan saudara yang pernah guna set bersalin tersebut. Apapun ingat, badan kita tidak sama macam orang lain, jadi jangan pula terikut bulat-bulat pandangan orang.

4. SEMAK LABEL

Sekiranya kita sudah ada jenama yang berkenan di hati, jangan lupa semak label. Mana tahu bahan yang digunakan produk itu tidak sesuai. Sesetengah orang ada masalah alergi atau alahan terhadap bahan tertentu. Jadi, lebih baik berhati-hati dengan produk yang mahu dibeli.
5. MAHU BELI DI MANA?
Ada orang suka beli di kedai fizikal, ada juga yang lebih suka beli secara online. Apapun pilihan, pastikan produk tersebut diiktiraf dan anda diberikan khidmat nasihat, rundingan dan penjelasan secukupnya. Banyak juga barang fake di luar sana. Hati-hati!

6. BUAT BERBANDINGAN

Sekiranya kita ada tempat dan jenama tertentu untuk dapatkan produk set bersalin diinginkan, bandingkan dulu semua jenama itu dari segi harga, konsultasi dan apa yang ditawarkan.

7. BARANG DALAM SET BERSALIN

Kita bukan perlukan semua benda atau barang dalam set berpantang. Sebab itulah penting untuk minta pendapat pihak ketiga dan senaraikan apa yang perlu dibeli. Kita sudah tentu tidak mahu membazir membeli sesuatu yang tidak digunakan.

8. BELI ASING-ASING ATAU SET?

Kebanyakan set berpantang dijual dalam bentuk set. Tetapi, ada juga dijual secara berasingan. Selepas mengenal pasti keperluan sendiri, barulah kita boleh buat keputusan sama ada mahu beli secara set atau asing-asing.

9. KUANTITI IKUT KEPERLUAN

Membaca bahan dalam pakej yang disediakan nampak semacam lebih berbaloi. Sabar, fkir dulu, berapa lama pula kita mahu guna produk tersebut? Kalau sekejap saja, jangan beli dalam kuantiti banyak supaya tidak membazir.

10. PERIKSA TARIKH LUPUT

Pastikan anda tidak beli set berpantang yang hampir tamat tarikh luput. Mesti semak maklumat penting ini sebelum beli.
SUMBER: TheAsianparentMalaysia 

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda