ADA banyak sebab dan punca kenapa anak selalu mengelak dan tidak suka dihantar ke tadika (atau taska). Apa juga punca, kita mesti lakukan sesuatu untuk memujuk anak supaya seronok ke sana.

Jadi, sebagai persediaan awal, ibu bapa mungkin boleh buat 10 tip di bawah ini supaya anak tidak rasa kekok, sedih, cemas dan macam-macam perasaan lagi.

1. PENDEDAHAN AWAL

Persediaan awal itu sangat penting supaya mental dan fizikal anak bersedia sebelum tadika buat pertama kali. Kita boleh mengurangkan ketakutan anak ke tadika dengan bercerita mengenai tempat baharu yang bakal dia pergi itu.

Berikan gambaran positif, suasana ceria dan keseronokan yang bakal anak alami. Ceritakan perkara baik dan menyeronokkan supaya dapat menarik perhatian anak.

2. BAWA MELAWAT

Selepas beri anak rasa teruja ke tadika, cuba bawa dia melawat sekitar kawasan tempat baharu. Nanti anak kita tidaklah rasa asing dan kekok sangat pada hari pertama nanti. Kenalkan kepada guru, rakan dan pengasuh. Apabila sudah saling kenal, kuranglah risiko anak menangis pada hari pertama di tempat baharu.

3. MAIN ‘CIKGU-CIKGU’

Beberapa bulan sebelum bermula musim pra sekolah, luangkan masa bermain bersama anak. Cara paling mudah untuk beri pendedahan tentang suasana di tadika, ajak anak main ‘cikgu-cikgu’. Situasi ini boleh memberi gambaran sebenar tentang apa yang akan dia lalui di tadika nanti.

4. LATIH BANGUN AWAL

Kanak-kanak usia awal 4-8 tahun memang ada masalah untuk bangun awal. Bagaimanapun, kita boleh atasi masalah itu dengan melatih bangun awal. Beberapa bulan sebelum ke tadika, latih anak bangun awal. Tidaklah kita kelam kabut nanti!

5. BELI ALAT TULIS 

Cara terbaik memujuk anak seronok ke tadika, belikan dia alat tulis watak kartun yang disukai supaya dia jadi lebih berminat. Bawa anak keluar dan pilih sendiri barang sekolah yang disukainya.

6. SABAR DAN CEKAL

Jaga emosi ketika hantar anak pada hari pertama di tadika. Walaupun anak menangis, tinggalkan dan biarkan anak dengan proses penyesuaian. Jangan bimbang kerana anak akan diam selepas kita tiada dan akan mula bergaul dengan kawan lain.

7. BERI GANJARAN

Beri ganjaran sekiranya anak berkelakuan baik. Misalnya, katakan ‘kalau adik pergi sekolah penuh minggu ini, ibu belanja aiskrim’. Pujuk anak dengan cara berikan apa yang mereka suka sekiranya berjaya ke sekolah dalam tempoh tertentu.

8. AMBIL TAHU 

Masa menjemput anak daripada tadika, rajinkan bertanya kepada pengasuh atau cikgu tentang apa yang anak kita buat sepanjang hari. Adakah dia menangis, berkelakukan tidak baik atau gembira.

Berikan pujian kepada anak setiap kali berjaya ke sekolah. Ini akan buatkan dia rasa dihargai dan bersemangat ke sekolah.

9. JANGAN AMBIL LAMBAT

Elakkan ambil anak lewat. Anak memang tidak suka kalau kita selalu lewat dan ini boleh jadi punca anak mogok nanti.

10. JALINKAN HUBUNGAN BAIK

Bina keyakinan anak dengan memuji dia di depan pengasuh atau cikgu. Jalinkan hubungan baik dengan cikgu atau pengasuh supaya anak rasa selamat dan selesa ke sana setiap hari.

Selamat mencuba!

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda