INI bukan tip jadi ibu dan ayah kedekut ya! Cuma mahu memastikan anak kita sedar tentang kepentingan menabung untuk masa depan. Dalam keadaan ekonomi serba mencabar sekarang, pendidikan kewangan memang jadi keperluan. Tambahan lagi apabila sudah bekeluarga. Mahu tidak mahu, amalan berjimat-cermat sudah jadi kemestian.

Amalan berjimat cermat ini pula mesti dimulakan sejak anak masih kecil lagi. Kita sebagai ibu bapa mesti mendidik anak supaya menabung dan menghargai wang. Bagaimanakah agaknya mahu melahirkan generasi bijak menyimpan? Jom cuba 10 cara mudah ini:

1. ‘ROLE MODEL’

Kita mesti jadi role model kepada anak dengan sentiasa tunjuk contoh berbelanja dengan berhemat. Paling senang, buat perbandingan harga untuk sesuatu barang yang hendak dibeli.

2. BUKU WANG SAKU

Wujudkan buku wang saku supaya anak dapat mencatat segala perbelanjaan. Kalau sudah ada buku, senang kita mengenal pasti apakah perkara yang boleh dijimatkan, dan buat simpanan daripada penjimatan tersebut.

3. CERITA SEBELUM TIDUR

Berikan kesedaran minda bawah sedar anak untuk berjimat. Ya, salah satu cara ialah bercerita tentang manfaat berjimat sebelum anak melelapkan mata. Sebelum tidur, gelombang minda berada dalam fasa alfa yang membuatkan apa saja yang didengarinya dapat disimpan, dan direalisasikan dengan baik.

4. TAHU AKIBAT

Selalu pesan dan beritahu kepada anak tentang kesan negatif yang bakal berlaku sekiranya boros berbelanja. Misalnya, orang boros akan buat hidupnya serabut dengan hutang keliling pinggang dan hidup merempat.

5. MENABUNG

Mulakan tabiat menyimpan secara kecil-kecilan. Ajar anak konsep ‘sikit-sikit, lama-lama jadi bukit’. Misalnya, minta anak simpan RM1 atau RM2 daripada wang sakunya setiap hari. Sediakan tabung untuk anak. Lebih baik kalau tabung itu lut sinar!

6. PUJIAN

Kanak-kanak ini memang suka dipuji. Jika anak sudah belajar menabung, pujilah anak. Katakan; ‘baguslah anak ibu, pandai berjimat dan pandai pula simpan duit dalam tabung’. 

7. BUKA BUKU AKAUN 

Bawa anak ke bank apabila tabung sudah penuh dan bukakan akaun simpanan. Tunjuk yang kita memang serius dengan sikap menabung anak.

8. BELANJA IKUT KEMAMPUAN

Jangan sesekali ajar anak banyak berbelanja macam orang kaya. Sentiasa rancang perbelanjaan walaupun di sekolah dan beli barang dengan nilai wang saku diberi. Kalau mahu beli barang mahal, minta dia simpan wang saku dan beli apabila duit sudah cukup.

9. KONSEP GANDAKAN WANG

Jika mahu anak lebih seronok menyimpan, gunakan konsep saving match atau gandakan wang. Beritahu dia, simpanan terakhir anak akan digandakan. Misalnya, tahun ini anak berjaya kumpul RM200, ayah akan tambah lagi RM200.

10. BERTERUS-TERANG

Kalau tidak mampu, jangan segan-segan untuk katakan TIDAK kepada anak. Ini ialah untuk mengajar mereka faham tentang bukan senang untuk mendapatkan sesuatu. Jangan malu untuk menjawab soalan seperti, ‘berapa gaji ayah?, berapa hutang ayah tanggung?, berapa banyak simpanan ayah dan ibu?’.

Semua tip di atas jika diamalkan dapat memberi impak besar terhadap anak kita. Sikap berjimat cermat akan melahirkan generasi bijak menyimpan demi masa depan. Selamat mencuba!

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda