TIDAK dinafikan kesibukan masa bekerja sentiasa membataskan masa kita dengan anak. Jam 8 pagi hingga 7 malam di pejabat, sebelah malam sibuk menguruskan hal rumah, dan apabila semua selesai, anak pula sudah tidur.

Bilakah masa kita bersama anak sebenarnya? Kadang-kadang kasihan anak kita. Ada anak lebih rapat dan mesra dengan pengasuh atau saudara lain. Hati mana tidak tersentuh apabila kita lihat  anak sendiri lebih manja dengan orang lain.

Walau sibuk mana pun kita, kita mesti cuba luangkan masa berkualiti bersama anak di rumah.

1. TETAP TARIKH DAN MASA BERSAMA


Tetapkan tarikh dan masa dalam kalendar di rumah atau telefon pintar kita. Kekerapan bersama bergantung kepada kita, sama ada ayah dan anak, atau ibu dan anak. Idea ini menarik, setiap anak ada masa bersama ibu bapa secara bergilir-gilir.

2. HADKAN TEMPOH BERJUMPA

Ada anak ramai memang sukar untuk meluangkan masa bersama setiap anak secara bersendirian. Jadi, kita boleh tetapkan masa, setiap anak ada 10 minit bersama ibu bapa. Ketika ini, biar anak kita pilih apakah aktiviti yang mereka mahu lakukan bersama kita. Sepanjang tempoh bersama, tumpuan sepenuhnya sangat membantu perkembangan anak.

3. BUAT KEJUTAN UNTUK ANAK 

Selain sambutan hari jadi, kita juga boleh buat kejutan pada hari biasa seperti bawakan bekal ke sekolah atau hantar anak ke sekolah. Mesti dia suka!

4. TETAPKAN HARI MALAM KELUARGA 

Walaupun sibuk sekalipun, pastikan kita dapat luangkan masa keluarga pada malam. Kalau tidak boleh setiap malam, mungkin malam minggu. Menonton cerita kartun bersama boleh jadi detik yang menyeronokkan buat si anak.

5. BACA BUKU BERSAMA 


Anak masih kecil dan tidak tahu membaca! Kita boleh baca buku untuk mereka sebelum tidur. Jika anak sudah tahu membaca, boleh baca bersama dan bincangkan watak dalam buku itu. Pasti anak tertunggu-tunggu kehadiran kita setiap malam.

6. BERBUAL DALAM KERETA


Walaupun dalam kereta, tidak kira sama ada dalam perjalanan atau  balik sekolah, tadika, taska atau rumah pengasuh, kita sebenarnya boleh berbual dengan anak tentang pelbagai topik, sama ada aktiviti di sekolah dan sebaliknya.

7. BERMAIN BERSAMA ANAK

Luangkan masa bermain dengan anak, terutama permainan kegemaran mereka. Tidak perlu lama, 10 hingga 15 minit pun sudah memadai.

8. TULIS DIARI 


Apabila anak sudah tahu menulis dan membaca, belikan anak diari comel. Kita boleh mulakan dengan berbalas nota dengan anak. Cara ini agak tradisional tetapi menarik untuk dilakukan.

9. TIDUR LEWAT BERSAMA


Berikan peluang setiap anak menikmati tidur lewat satu malam dan bangun lewat. Masa ini, kita boleh meluangkan masa dengan anak untuk bermain, menonton dan bercerita. Pastikan tidak terlepas solat Subuh!

10. KETEPIKAN TELEFON PINTAR, PANDANG MATA!

Ramai tidak sedar, terlalu banyak menggunakan telefon pintar boleh menggugat hubungan kita dan anak. Apabila anak mahu menceritakan sesuatu, pastikan kita tidak memandang skrin telefon pintar. Mesti pandang mata mereka!

SUMBER: TheMaven.net

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda