“ANAK saya 5 tahun tapi masih tak kenal ABC. Saya dah hantar pergi taska sejak 4 tahun lagi. Macam-macam cara dah diajar, pun masih tak kenal huruf.”

Begitulah antara keluhan ibu bapa yang anaknya susah mahu mengenal huruf. Risau mestilah risaukan? Ibu bapa mana pula yang tidak risau?

Apa kata kita cuba 10 cara kreatif dan seronok mengajar ABC seperti di bawah ini. Cara pembelajaran ini dikongsikan pengamal Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Ashikin Hashim, dan kami olah semula. Boleh saja dimulakan seawal anak baru dilahirkan hingga 6 tahun.

PERHATIAN: Kenalkan huruf kecil dulu, baru besar.

1. MENYANYI

Ada banyak lagu ‘nursery ryhmes’, lagu rakyat dan lagu kanak-kanak yang boleh kita belajar daripada YouTube untuk mengajar anak mengenal ABC.

2. SEBUT, MESTI SEBUT SELALU

Ketika pakaikan lampin atau anak sedang bermain, kita perlu sentiasa sebutkan ABC supaya anak dengar dan biasa dengan huruf-huruf itu.

3. KAD IMBAS

Jika rajin, buatlah kad imbas sendiri. Kalau tidak, beli saja di kedai buku atau barangan kanak-kanak. Dapatkan set kad imbas untuk anak, dan tayangkan sepintas lalu di depannya. Cuma 5 minit sehari. Tetapi mesti konsisten!

4. BUAT CARTA ABJAD

Buat atau beli carta huruf dan lekat di dinding rumah. Luangkan masa 5 minit sehari untuk anak baca dan tunjuk. Carta perlu ditampal mengikut aras mata anak. Jangan terlalu tinggi.

5. ABJAD DI MANA-MANA!

Tetapkan sasaran. Minggu ini mahu perkenalkan 2 huruf kepada anak, contohnya K dan L. Lekatkan kad K dan L di mana-mana tempat yang dia selalu ada atau main. Contohnya di pintu utama, sebelah komputer, tempat mainan, sebelah katil dan sebagainya. Minta anak sebut apabila ternampak huruf tersebut.

6. AMBIL GAMBAR

Minta anak ambilkan gambar huruf yang kita lekatkan di dinding sekeliling rumah. Suruh mereka tunjukkan kepada kita sambil sebutkan huruf itu. Aktiviti ini sangat menyeronokkan anak.

7. KOLAJ

Aktiviti kolaj ialah aktiviti mengoyak dan menampal kertas. Lukis sebiji ayam, misalnya, dan lekatkan kertas warna yang dikoyakkan anak kecil-kecil dan suruh dia tampalkan.

Kemudian ajarkan anak, apa itu ayam! Sebut ‘a’ berulang kali.

Atau berikan templat huruf boleh dicetak daripada Internet dan buat aktiviti kolaj bersama anak. Jangan lupa masukkan dalam jurnal ya!

8. LUKIS DENGAN JARI 

Belajar mengenal huruf dengan cara melukis huruf menggunakan jari. Lukis dan sebut. Bukan saja dapat melukis, tetapi dapat juga mengenal warna, campur warna, rasa tekstur warna dan macam-macam lagi.

9. MAIN SOROK-SOROK 

Sorokkan huruf di beberapa bahagian rumah. Contohnya bawah meja. Minta anak cari huruf tersebut. Bagi klu kepada anak, misalnya, huruf ‘a’ ada di tempat kita selalu makan!

10. BUKU SKRAP ABJAD

Buat aktiviti mengumpulkan semua huruf-huruf. Minggu ini belajar ‘a’. Tulis atau warna atau buat aktiviti kolaj. Minggu hadapan ‘b’ pula. Kumpul hingga ‘z’.

Susun dan jadikannya buku skrap. Buat aktiviti berkaitan ‘a’. Contohnya ayam – makan ayam, potong ayam, masak ayam, dan pergi pasar cari ayam.

Selamat mencuba!

SUMBER: ashikin hashim

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda